Feb 09, 2026 - FASSelangor FC memulakan aksi Suku Akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 dengan langkah kanan selepas berjaya menjaringkan satu gol untuk mendahului Negeri Sembilan FC 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, beliau bangga dengan karakter pemain, tetapi menekankan kepentingan menjaringkan gol lebih awal.
“Saya sangat bangga dengan pemain sepanjang tujuh perlawanan terakhir. Secara tidak langsung, kita telah mengharungi banyak situasi sukar, termasuk bermain tiga perlawanan dengan kad merah. Ini bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan, tetapi mereka telah melakukan yang terbaik dan menunjukkan prestasi yang boleh dipuji. Walaupun begitu, pasukan telah menunjukkan karakter yang padu di padang. Kita mencipta banyak peluang dalam kedua-dua babak, terutamanya pada awal permainan dan inilah identiti yang sedang kita bina. Mencipta peluang itu penting, tetapi kita juga perlu belajar menjaringkan gol lebih awal supaya dapat mengawal perlawanan dengan lebih baik, kekal beraksi padu bersama-sama dan memanfaatkan setiap peluang untuk membuktikan kemampuan yang kita ada,” kata beliau.
Daripada perlawanan Suku Akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 #NSESFC semalam, beberapa perkara penting dapat diperhatikan:
Gol ketiga Chrigor Moraes – Penyerang prolifik Selangor FC terus menambah jumlah gol peribadi beliau. Semalam merupakan gol ketiga beliau dalam saingan Piala Malaysia 2025/26 serta gol penalti kedua beliau daripada 29 jaringan gol keseluruhan.
Clean sheet kedua barisan pertahanan dan penjaga gol – Daripada empat perlawanan, dua daripadanya pasukan berjaya mengekalkan kemenangan tanpa bolos, termasuk perlawanan menentang Negeri Sembilan semalam.
Seterusnya, Selangor FC akan menerima kunjungan daripada Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 14 Februari ini bagi pusingan Suku Akhir kedua Piala Malaysia 2025/26, jam 9 malam. Ayuh ramai-ramai hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada para pemain dan mara bersama ke pusingan seterusnya. Beli tiket anda di sini!
Pihak Pengurusan Selangor FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyokong yang sanggup hadir ke Negeri Sembilan untuk menyokong pasukan. Jumpa anda di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada hari Ahad ini!
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Mohammad Abualnadi, Richmond Ankrah, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Syahir Bashah, Chrigor Moraes, Vitor Pernambuco.
Pertukaran: 68’ Alvin Fortes > Noor Al Rawabdeh, 87’ Kim Ji-ho > Faisal Halim, 87’ Vitor Pernambuco > Mukhairi Ajmal, 90+1 Izwan Yuslan > Syahir Bashah.